Dalam
kepesatan masyarakat menuju ke arah negara maju, masih wujud kekeliruan
antara tuntutan agama dan adat yang menjadi pegangan kuat orang Melayu.
Bahkan, ada pepatah mengatakan biar mati anak, jangan mati adat. Ini
menggambarkan betapa dalam sesuatu situasi adat mendahului kepentingan
lain dalam hidup. Amat menjengkelkan apabila ada lapisan masyarakat menjadikan adat sebagai perkara wajib hingga tuntutan agama diabaikan.
Perkara ini dapat dilihat
terutama dalam majlis yang membabitkan perkahwinan, menyambut kelahiran
cahaya mata dan kematian. Sebenarnya, masyarakat perlu faham bahawa
Islam tidak pernah menolak adat selagi ia tidak bertentangan dengan
syarak.
Sebagai
contoh majlis menyambut kelahiran cahaya mata baru dalam sesebuah
keluarga. Dalam Islam, bayi yang baru lahir perlu diazan dan
ditahmidkan. Kemudian, ibu bapa akan memilih nama yang baik dan
seterusnya melakukan aqiqah. Semua ini penting sebagai tanda kesyukuran
kerana mendapat anak.
Namun,
yang agak dikesali adalah tindakan sesetengah masyarakat yang menyambut
kelahiran anak dengan bermacam-macam perkara hingga menjadi khurafat
seperti meletakkan pisau di bawah bantal, kononnya untuk mengelakkan
daripada gangguan hantu dan syaitan. Sama juga dengan majlis mencukur
kepala. Sepatutnya rambut dicukur dengan tujuan membersihkan kepala bayi
tersebut tetapi kita hanya cukur sedikit sahaja.
Gambar Hiasan
Rambut yang habis dicukur perlu ditimbang dengan nilai emas untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Cuma Islam tidak memberatkan untuk timbangan emas kerana yang penting ialah membersihkan kepala bayi.
Disunatkan Pada majlis perkahwinan pula, yang menjadi tuntutan agama
ialah akad nikah dan kenduri kahwin. Perkahwinan yang dilangsungkan
hendaklah diisytiharkan dengan mengadakan kenduri seperti sabda Nabi
Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Buatlah kenduri walau dengan seekor
kambing." (Riwayat Bukhari)
Dalam
Islam, meminang adalah disunatkan tetapi ia bukan satu adat. Agama
turut menggalakkan pemberian hadiah, misalnya pemberian hantaran kepada
keluarga pengantin, tetapi biarlah ia bersederhana untuk mengeratkan
hubungan silaturahim.
Kalau
ia dilakukan secara berlebih-lebihan seperti mana pada hari ini, itu
semua adalah adat semata-mata dan bukannya tuntutan agama. Begitu juga
dengan majlis perkahwinan yang terlalu meriah hingga mengundang kepada
pembaziran. Perkara ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Di
samping itu, ia turut diiringi dengan majlis persandingan di mana
pengantin perempuan berhias secara berlebih-lebihan dan membuka aurat.
Islam menggalakkan kenduri untuk menghebahkan perkahwinan kepada umum.
Adalah lebih elok kalau pasangan melayan tetamu dengan dihiasi pakaian
yang sedikit berbeza dan menunjukkan dirinya baru berkahwin.
Tetapi
dalam masyarakat kita terlalu banyak adat hingga matlamat sebenar tidak
tercapai. Begitu juga mengenai adat menepung tawar pasangan pengantin
semasa majlis persandingan. Dipercayai adat ini berlaku dalam kalangan
masyarakat Melayu dahulu kala yang hendak belayar. Ketika itu diadakan
upacara menurunkan perahu atau kapal. Upacara dilakukan dengan perahu
itu dipulihkan dengan jampi serapah dan mentera menggunakan tepung tawar
dan sebagainya. Membebankan "Seperti yang saya nyatakan, masyarakat kita sebenarnya tidak jelas apakah adat yang mereka buat dan tujuannya.
Dalam
adat menepung tawar, kita perlu lihat pada tujuannya terlebih dahulu.
Kalau berhasrat untuk menolak bala, maka Islam tidak membenarkan.
Sekiranya ia dilakukan dengan tujuan untuk meraikan pengantin, ini tidak
bertentangan dengan syarak. Selain itu, beberapa adat yang wujud di
sesetengah negeri seperti adat mandi bagi pasangan pengantin juga tidak
manis dilakukan kerana ia menampakkan aurat antara lelaki dan perempuan.
Adat ‘tol’ seperti di Johor juga dilihat membebankan pihak lelaki yang
sudah banyak mengeluarkan perbelanjaan. Bagaimanapun, adat ini tidaklah
sampai ke peringkat haram kerana mereka melakukan sekadar untuk
berseronok.
Antara
adat yang bertentangan dengan syarak ialah lenggang perut. Adat
melenggang perut kebanyakannya lebih difahami masyarakat Melayu di
selatan Semenanjung manakala di utara Semenanjung, ia lebih dikenali
dengan panggilan kirim perut. Ia dilakukan ke atas wanita yang genap
hamil tujuh bulan bertujuan meletakkan kedudukan bayi di tempat yang
sepatutnya dalam perut ibu iaitu bahagian kepala di pintu rahim. Ini
penting bagi memudahkan si ibu bersalin dan bayi tidak kelemasan di
dalam perut. Kelengkapan yang diperlukan ialah tujuh helai kain
berlainan warna, segantang beras, sebiji kelapa, beberapa urat benang
dan lilin, sebatang damar, sedikit minyak kelapa atau minyak urut, satu
tepak sirih yang lengkap dengan isinya dan pengeras wang sebanyak RM1.25
di dalam tepak sirih. Biasanya pada hari melenggang perut akan diadakan
kenduri kecil-kecilan yang akan dihadiri oleh orang tua-tua dan kaum
keluarga yang rapat.
Pada
masa kenduri itu berlangsung, si ibu yang akan melenggang perut akan
dipakaikan dengan pakaian baru dan cantik. Adat ini wujud kerana azam
kita agar bayi dapat dilahirkan dengan selamat. Hakikatnya, kita perlu
memohon dan berdoa kepada Allah s.w.t. supaya dimudahkan bersalin dan
bukannya melalui upacara tersebut. Oleh kerana adat ini diwarisi sejak
turun-temurun, maka masyarakat hari ini masih lagi mengamalkannya.
Masyarakat
Melayu juga mempunyai kepercayaan tertentu apabila membabitkan soal
kematian. Misalnya, mengadakan majlis tahlil dalam tempoh tertentu
hingga membebankan keluarga si mati. Apabila masyarakat semakin keliru
dan tidak tahu membezakan antara adat dan agama, ia akan menyebabkan
umat Islam keciciran tanggungjawab terhadap agama.
Dalam
kehidupan sesetengah individu, dari segi psikologi mereka sentiasa
mengharapkan ada kuasa lain dalam diri mereka. Selagi adat tidak
bertentangan dengan agama, maka Islam membenarkan. Jangan sampai ia
memudaratkan seperti mana yang kita lihat pada hari ini iaitu
perbelanjaan perkahwinan yang tinggi menyebabkan ramai pasangan muda
menangguhkan perkahwinan mereka dan akhirnya berlaku maksiat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan