Selasa, 15 November 2011

Sultan Kedah kesal hospital belum dibina



ALOR SETAR, 15 Nov: Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kesal kerana perancangan pembinaan hospital di daerah Pendang dan Bandar Baharu masih belum terlaksana sehingga kini.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, penggal keempat, mesyuarat Bajet 2012 pagi tadi.

Titah baginda lagi, kegagalan kerajaan persekutuan menyediakan infrastruktur awam itu mengakibatkan rakyat menghadapi kesukaran apabila terpaksa bergerak jauh untuk mendapatkan rawatan di luar daerah.

Justeru baginda berharap agar pihak berwajib mengambil tindakan susulan agar kemudahan hospital yang dimaksudkan dapat disediakan demi kebaikan rakyat di negeri itu.

Baginda turut berbangga dengan kejayaan kerajaan negeri melaksanakan projek-projek utama yang dirancang melalui Pelan Strategik Kedah Sejahtera.

Menurut baginda, perlaksanaan projek-projek melibatkan pertanian, pembuatan, pelancongan dan pembangunan insan memberikan impak positif kepada ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri itu.

Tindakan kerajaan negeri membangunkan semula Plaza Tunku Yaakub yang telah sekian lama terbengkalai dan pembangunan semula Kuala Kedah serta pembangunan bandar baru di Pokok Sena juga mendapat penghargaan.

Selain itu, baginda turut menghargai usaha murni kerajaan negeri mewujudkan Maahad Tahfiz Sains yang bakal membentuk generasi intelek berakhlak mulia dan mampu menguasai Al-Quran sebagai panduan di dalam kehidupan mereka.

Sehubungan itu baginda berharap proses tersebut hendaklah dijalankan secara berterusan bagi memastikan projek yang dirancang dapat memberikan faedah kepada semua pihak.

Terdahulu baginda berkenan melakukan pemeriksaan perbarisan kawalan kehormatan 130 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan