Khamis, 3 November 2011

KDN Haramkan Buku Seks Kelab Isteri Taat

KDN Haramkan Buku Panduan Seks Kelab Isteri TaatPUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri pada Rabu mengharamkan pengedaran buku kontorversi panduan seks yang dikeluarkan oleh Kelab Isteri Taat berkuat kuasa serta-merta.
Sesiapa yang didapati memiliki buku Seks Islam, Perangi Yahudi Untuk Kembalikan Seks Islam Kepada Dunia akan dikenakan denda hingga RM5,000.
Manakala mereka yang didapati mencetak serta mengedar buku berkenaan untuk dijual di pasaran boleh kenakan denda tidak melebihi RM20,000, penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekalinya.
Setiausaha bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Abdul Aziz Mohd Nor berkata buku berkenaan tidak boleh diedarkan kepada orang ramai.
“Kami telah membuat siasatan dan mencari buku berkenaan termasuk di Kelantan dimana ia didakwa pertama kali ditemui namun gagal menjumpainya.
“Akhirnya kami mendapat sebuah buku ihsan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan selepas meneliti isi kandungannya, kami dapati ada sebab kukuh buku berkenaan perlu diharamkan,” katanya kepada The Star.
Abdul Aziz berkata sebab pertama adalah kerana buku berkenaan diedarkan oleh sebuah pertubuhan yang secara jelas mempunyai hubungan dengan kumpulan ajaran sesat al-Arqam.
“Oleh kerana pertubuhan berkenaan telah diharamkan, maka apa kaitan dengannya termasuk kelab atau buku yang diterbitkan oleh mereka juga akan turut diharamkan,” katanya.
Beliau berkata buku berkenaan turut melanggar garis panduan penerbitan dan penapisan yang dikeluarkan oleh Jakim.
“Berdasarkan siasatan yang kami jalankan dan hasil penemuan yang dibuat oleh Jakim, kita perlu mengharamkan buku ini,” katanya.
Buku kontroversi berkenaan telah ditulis oleh Hatijah Aam yang juga isteri kepada bekas pengasas kumpulan al-Arqam, Ashaari Muhammad dan pengasas Kelab Isteri Taat.
Kelab berkenaan ditubuhkan oleh Global Ikhwan Sdn Bhd, sebuah pertubuhan yang diasaskan oleh kumpulan al-Arqam.
Ketika dihubungi, jurucakap kumpulan Global Ikhawan, Siti Maznah Mohd Taufik turut mempersoalkan keperluan pengharaman buku berkenaan, kerana menurutnya buku tersebut diterbitkan untuk ahli-ahli mereka sahaja.
“Kita tidak pernah merancang untuk mengedarkan buku ini kepada orang luar. Buku ini diterbitkan untuk memberi pengetahuan kepada ahli kami,” katanya.
Selain ahli pertubuhan itu, buku berkenaan turut diedarkan kepada media pada sidang akhbar ketika mereka melancarkan buku berkenaan baru-baru ini.
“Kami hanya mengedarkan buku berkenaan kepada pihak media supaya mereka dapat membaca dan memahami isi kandungan buku berkenaan,” katanya. - mStar Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan