Rabu, 21 Disember 2011

KEBANGKITAN MAHASISWA

 
 

Tahun 2011 telah disaksikan oleh masyarakat dunia gelombang kebangkitan mahasiswa untuk mempertahan hak dan maruah sebagai sebuah generasi mahasiswa.

Peranan mereka sebagai mahasiswa pada saat ini bukan hanya sekadar mampu duduk dan patuh menerima apa sahaja arahan tetapi kesedaran yang berlegar di paradigma memaksa mereka bangkit atas keprihatinan terhadap amanah dalam meninggikan hukum Allah dalam segala aspek kehidupan manusia.
Ruang lingkup usia yang paling berpotensi bagi seorang pemuda adalah usia antara 20 sehingga 30 tahun, maka mahasiswa adalah elemen terpenting dari golongan ini. Mahasiswa sebenarnya berada pada posisi yang sangat stabil dan perlu dibentuk hala tujunya agar tidak tersasar daripada landasan sebenar.

Samada dari segi usia mahupun pemikiran, ini kerana ketika usia sebegini tahap pemikiran yang didasari dengan keseimbangan emosi dan intelektual mampu menghasilkan sebuah anjakan paradigma sekaligus dapat membuka mata masyarakat akan fungsi generasi muda yang berilmu.

Hakikatnya pemikiran yang dicerna tersebut masih segar dan relevan untuk keperluan semasa kerana ianya tidak dicemari dengan pencemaran yang diracuni kekuasaan, kekayaan dan kepentingan diri semata-mata. Sejajar dengan hadis Nabi berkenaan dengan generasi muda:
Sabda Baginda S.A.W:
"Aku berwasiat kepada kamu supaya menanggapi pemuda dengan sebaik mungkin kerana sesungguhnya mereka memiliki jiwa yang mudah dibentuk (lembut dan unik). Sesungguhnya Allah telah mengutuskanku dengan agama yang lurus lagi toleransi lalu aku telah dibantu kukuh oleh para pemuda sedangkan orang-orang tua menyanggahiku."

Di Malaysia sendiri tidak lari daripada realiti yang berlaku hari ini, apabila telah banyak wujud isu-isu tentang kebangkitan mahasiswa di setiap kampus-kampus tempatan samada kerajaan mahupun swasta. Sebagai contoh, momentum daripada himpunan membangkitkan kesedaran mahasiswa di peringkat Nasional awal tahun lalu telah membawa kepada satu perubahan besar kepada mahasiswa di Kolej Universiti Insaniah. Atas kalimah "student power", siswa-siswi Insaniah telah turun berhimpun dalam Himpunan Mega Mahasiswa Insaniah pada tarikh keramat 11.1.11.

Motifnya jelas, untuk menyampaikan gagasan gelombang suara mahasiswa Insaniah kepada barisan pentadbir untuk proses penambahbaikkan yang pada akhirnya membawa kepada situasi menang-menang. Secara kasarnya, himpunan tersebut berjaya mengumpulkan suara mahasiswa Insaniah dan mencapai tujuan himpunan.
Realiti yang berlaku hari ini, sungguh berbeza dengan situasi terdahulu, apabila berlakunya penindasan kepada mahasiswa mereka hanya diam membisu seribu bahasa kerana dimomokkan dengan pelbagai ugutan dan ancaman namun kini mahasiswa sudah mengatur langkah membina sebuah ketamadunan dalam mendasari sistem demokrasi negara yang menjadi aliran pentadbiran negara.
Di Indonesia pula, tahun 1998 adalah merupakan sejarah yang dibanggakan oleh mahasiswa kerana bukan sahaja berjaya menyatukan suara-suara rakyat malah mampu menggulingkan Diktator- Soeharto yang hampir 32 tahun berkuasa pada masa itu. Kebangkitan itu telah direalisasikan sehingga ke hari ini oleh mahasiswa jika terdapat pemerintah yang zalim dan tidak adil terhadap rakyat.
Kini kebangkitan mahasiswa ini telah meresapi ke jiwa mahasiswa-mahasiswa Islam Mesir apabila hak mahasiswa telah dicabuli oleh pihak yang berkuasa. Tindakan pihak ini dengan membuang seorang mahasiswa yang hampir menamatkan pengajian dalam MA dari universiti tanpa sebarang sebab yang munasabah menunjukkan sikap tidak relevan dan profesional.
Rentetan dari itu, satu memorandum khas telah diadakan oleh mahasiswa sebagai bukti bahawa mahasiswa tidak akan berdiam diri jika hak mereka diperkotak-katikkan dan dihentam dengan perkara yang tidak sepatutnya.
Mahasiswa akan terus maju dan mara ke hadapan dalam mempertahan hak dan maruah mereka.
Justeru, gerakan mahasiswa merupakan sebuah gerakan yang tidak mudah disepikan suaranya dari didengari dan dicucuk hidungnya. Dibanding masyarakat awam, mereka ini jauh lebih faham dengan situasi politik terkini.
Dunia kampus telah menyajikan jendela bagi mereka untuk membuka mata melihat apa sebenarnya yang terjadi saat ini. Dari kampus ini pulalah terlahir gerakan-gerakan atau perkumpulan mahasiswa yang wujud kesatuan aksi, himpunan dan sebagainya. Kebangkitan gerakan mahasiswa yang dijalankan hampir setiap kampus saat ini, semakin menambah wawasan dan keterampilan politik para mahasiswa.
Oleh yang demikian, sebagai mahasiswa dan anak muda harapan agama, bangsa dan negara, marilah kita bersama mengoptimumkan potensi diri yang ada, dalam memperjuang hak dan agama serta mencapai misi yang utama iaitu transformasi negara ke arah lebih baik. Gunakan segala medium yang ada dengan memaksimakan penggunaan Blog, Facebook, Youtube dan sebagainya untuk dijadikan senjata dan suntikan berbisa untuk menikam musuh-musuh yang menghalang.
SHAZAZIERRA BINTI SHARIF
Ketua Unit Pendidikan dan Komunikasi Bahasa
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan