Sabtu, 19 November 2011

Projek Guru Bertugas 9 Jam Sehari Tidak Diteruskan

LABUAN – Projek perintis guru-guru bertugas selama sembilan jam sehari yang dicadangkan untuk dilaksanakan di Melaka, Sarawak, Pahang dan Johor tidak akan diteruskan. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada kerajaan menilai dan meneliti terlebih dahulu hasil laporan kajian daripada projek yang dimulakan di Melaka. “Kita tidak mahu perkara itu diteruskan secara perintis tanpa guru sendiri memahami tujuan disebaliknya. Mungkin banyak pihak yang tidak faham apakah matlamatnya sehingga ada tanggapan bahawa ia menambah beban dan menyulitkan kerja guru atau tanggungjawab guru. “Sebab itu, saya telah memaklumkan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam agar kajian ini tidak diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan para pemimpin Barisan Nasional Labuan di bilik orang kenamaan di Lapangan Terbang Labuan di sini Sabtu. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi pelbagai pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan projek perintis guru-guru bertugas selama sembilan jam sehari diteruskan kerana menurut mereka ia amat membebankan kerja guru. Beliau berkata tanggapan projek itu membebankan guru adalah tidak tepat kerana ia merupakan satu program yang dibuat untuk memantapkan profesion perguruan di negara ini yang diputuskan oleh jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Pengarah Pelajaran. “Profesion perguruan ini ada keistimewaan…berlainan sedikit dengan perkhidmatan awam yang lain kerana dia guru, dia mengajar, dia mendidik dan membimbing dan masa sepenuhnya ditumpukan di bilik darjah, di luar darjah dan kawasan rumah kampung pun guru berperanan,” katanya. Sehubungan itu, Muhyiddin berkata rakyat dan juga guru tidak perlu risau kerana kerajaan sentiasa mengambil kira pandangan semua pihak terutama daripada kewajaran untuk meneruskan projek itu. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan