Jumaat, 11 November 2011

Penggal Terakhir Pemerintahan Tuan Guru

Tok Guru Nik Aziz                                     DI SEBALIK ramalan banyak pihak bahawa Perdana Menteri akan membubarkan parlimen pada hari ini bagi membolehkan pilihan raya umum ke 13 diadakan, terdapat satu lagi ramalan yang tidak kurang hebatnya sedang bertiup kencang di Kelantan.
Yang penulis maksudkan ialah kebarangkalian akan berlaku perubahan tampuk kepimpinan kerajaan negeri yang sekarang dibawah pimpinan Tuan Guru Nik Aziz selepas pilihan raya umum ke 13 berlangsung.
Sejak mengambil alih kerajaan negeri pada 1990, Tuan Guru Nik Aziz diakui ramai telah berjaya meningkatkan nilai-nilai Islam dikalangan rakyat Kelantan.  Gaya pemerintahan beliau yang berasaskan kepada kepimpinan ulama telah berjaya memikat hati rakyat Kelantan untuk mengekalkan PAS sebagai parti pemerintah selama 21 tahun kini.
Walaupun dilanda badai pada 2004 apabila kuasa pemerintahan dipisahkan oleh 1 kerusi sahaja dengan BN, Allah swt masih lagi memelihara kedudukkan Tuan Guru sebagai Menteri Besar dan kebangkitan semula PAS pada 2008, sekali lagi dibawah kepimpinan Tuan Guru adalah bukti kepada kenyataan itu.
Bagaimanapun, dengan usia yang sudah mencecah 80 tahun, Tuan Guru Nik Aziz dilihat banyak pihak sudah kurang berkesan, apatah lagi bila sering uzur atas pelbagai sebab penyakit.  Keadaan ini memaksa kebanyakkan tugas Tuan Guru diambil alih oleh orang lain bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri tidak terganggu.
Keadaan ini juga telah menyebabkan wujudnya gerakan yang bertujuan menggantikan Tuan Guru sebagai Menteri Besar dikalangan kepimpinan PAS Negeri.  Bukan setakat itu sahaja, penulis difahamkan pihak yang terbabit dengan gerakan ini juga sudah menjalankan pelbagai usaha secara halus ke arah mencapai matlamat tersebut.
Tidak perlulah dinyatakan disini pihak mana yang dimaksudkan tapi ia adalah rahsia umum yang menjadi topik perbincangan dikalangan kepimpinan PAS Kelantan sendiri.
Penulis percaya usaha ini bukanlah suatu yang mudah.  Setelah 21 tahun, kelihatannya rakyat Kelantan begitu selesa berada dibawah naungan pemerintahan Tuan Guru dan berkemungkinan besar tidak serasi dengan corak pemerintahan baru selain dari konsep pemerintahan ulama sedia ada.
Dilema inilah yang dihadapi pihak-pihak yang berkonspirasi dalam diam untuk menjatuhkan beliau.  Keberkahan dan karamah Tuan Guru Nik Aziz sebagai ulama dan pemimpin terbilang yang dihormati musuh dan rakan adalah suatu perkara rumit yang bukan mudah diurai dengan logik akal semata-mata, perlukan pengisian rohani yang mendalam.
Lebih lagi bila pihak yang menggerakkan rancangan untuk menjatuhkan Tuan Guru Nik Aziz ini bukanlah terdiri dari golongan ulama pun.
Bagaimanapun ia bukanlah suatu perkara yang mustahil.  Gerakan ini telah lama menyasar rakyat Kelantan, terutama yang menjadi perantau di negeri orang.  Dirasakan mereka ini lebih terbuka kepada perubahan kerana sudah terdedah kepada kepelbagaian cara hidup dan kurang terpengaruh dibanding dengan mereka yang menetap di Kelantan.
Apa sekalipun perkembangan terbaru ini memang menarik untuk ditunggu.  Apakah benar penggal ini merupakan penggal terakhir Tuan Guru sebagai Menteri Besar dan siapakah insan bertuah yang bakal menggantikannya itu?  Sama-sama kita tunggu kesudahannya nanti.
Sumber: SuaraPakatanRakyat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan