Rabu, 16 November 2011

Model Terbaru Proton Akan Dilancarkan?



KUALA LUMPUR – Sebuah laman blog, MyMassa.blogspot.com, semalam menyiarkan sekeping gambar yang dikatakan sebagai model terbaru Proton Holdings Berhad (Proton) yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Gambar yang memaparkan sebuah kereta yang berlambang Proton di hadapannya itu berwarna kuning dan dipercayai merupakan model baru yang bakal menggantikan model Persona pada awal tahun hadapan.

Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan kereta konsep yang dipaparkan di laman web rasmi Proton, gambar model terbaru proton tersebut mungkin diambil dari Proton Tuah yang telah diubahsuai di beberapa bahagian seperti lampu dan gril hadapannya.

Selain itu, bahagian “fog lamp” (lampu kabus) model tersebut berkemungkinan diadaptasi dari model Proton Kasturi, sebuah lagi model yang berasaskan model Proton Saga FLX.

Dengan reka bentuk yang lebih menarik dan beberapa aksesori tambahan dibahagian luar seperti “side mirror indicator signal light” (lampu signal di bahagian cermin pandang sisi), dijangka model tersebut akan mendapat sambutan hangat di pasaran negara ini jika dipasarkan tahun hadapan.

Dengan gaya yang lebih ‘elegen’, ‘sporty’ dan nafas baru ini, dipercayai bahawa model tersebut mampu menarik pembeli dari golongan muda dan graduan baru sebagai kereta pertama mereka.

Bagaimanapun, Mynewshub.my masih gagal untuk menghubungi pihak Proton untuk mengulas mengenai model baru itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan