Isnin, 14 November 2011

Ekonomi Kedah memuaskan



LAPORAN Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan kedudukan kewangan Kerajaan Kedah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Azizan Abdul Razak pada tahun 2010 secara keseluruhannya adalah memuaskan.

Laporan itu menyebut, pada tahun 2010, baki kumpulan wang disatukan adalah berjumlah RM328.28 juta berbanding sejumlah RM265.52 juta pada tahun 2009
Peningkatan hasil sejumlah RM87.94 juta atau 23.9 peratus pada tahun 2010 berbanding peningkatan perbelanjaan mengurus sejumlah RM2.55 juta atau 0.6 peratus.
“Ini menyebabkan Kerajaan Negeri mencatat surplus pada tahun 2010 berjumlah RM22.50 juta berbanding defisit tahun 2009 berjumlah RM62.89 juta iaitu peningkatan mendadak sejumlah RM85.39 juta atau 135.8 peratus,” kata Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikemukakan Ketua Audit, Tan Sri Ambrin Buang baru-baru ini.

Laporan itu menyebut, peningkatan ini telah mengurangkan baki defisit akaun hasil disatukan tahun 2010 sejumlah RM22.50 juta atau 7 peratus menjadi RM298.23 juta berbanding RM320.73 juta pada tahun 2009.
Pengurangan wang tunai juga adalah seimbang dengan peningkatan ketara deposit dalam negeri berjumlah RM84 juta atau 45.7 peratus menjadi RM268 juta pada tahun 2010 berbanding RM184 juta pada tahun 2009, katanya.
Manakala pertambahan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM249.87 juta pada tahun 2010 menambah komitmen kerajaan negeri terhadap baki hutang awam yang kini berjumlah RM2.61 bilion berbanding RM2.38 bilion pada tahun 2009.
Ketua Audit Negara mengesyorkan, tindakan yang lebih berkesan perlu diambil untuk mengutip tunggakan hasil.
Jumlah tunggakan hasil pada tahun 2010 berjumlah RM172.67 juta telah berkurangan sejumlah RM27.16 juta atau 13.6 peratus berbanding RM199.83 juta pada tahun 2009, ujarnya.
Berikut adalah ringkasan Laporan Ketua Audit Negara 2010:
Kedudukan Kewangan Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah
Mengikut Lembaran Imbangan, Kumpulan Wang Disatukan pada akhir tahun 2010 berjumlah RM328.28 juta.
Jumlah ini merupakan lebihan terkumpul daripada ketiga-tiga Akaun Kumpulan Wang Disatukan iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan. Jumlah ini meliputi wang tunai berjumlah RM40.14 juta dan pelaburan berjumlah RM288.14 juta.
Analisis audit mendapati Kumpulan Wang Disatukan mengalami peningkatan sederhana sejumlah RM62.76 juta atau 23.6 peratus menjadi RM328.28 juta pada tahun 2010 berbanding RM265.52 juta pada tahun 2009.
Peningkatan ini adalah disebabkan baki Akaun Pinjaman Disatukan meningkat sejumlah RM42.32 juta atau 121.7 peratus berbanding pada tahun 2009. Selain itu, Akaun Hasil Disatukan mengalami peningkatan sejumlah RM22.5 juta atau 7 peratus berbanding pada tahun 2009.
Wang Tunai
Mengikut Penyata Kewangan, baki wang tunai pada 31 Disember 2010 berjumlah RM40.14 juta. Wang tunai merupakan aset yang terdiri daripada Wang Tunai Dalam Bank berjumlah RM15.46 juta, Wang Tunai Dalam Perjalanan berjumlah RM24.65 juta dan Wang Tunai Dalam Tangan berjumlah RM0.03 juta.
Analisis perbandingan kedudukan wang tunai bagi tahun 2010 menunjukkan penurunan berjumlah RM20.60 juta atau 33.9 peratus menjadi RM40.14 juta berbanding RM60.74 juta pada tahun 2009.
Penurunan ini disebabkan oleh aliran wang tunai keluar pada tahun 2010 berjumlah RM3.13 bilion melebihi aliran wang tunai masuk berjumlah RM3.11 bilion.
Wang tunai dalam perjalanan pada tahun 2010 pula telah berkurangan sejumlah RM14.03 juta atau 36.3 peratus menjadi RM24.65 juta berbanding RM38.68 juta pada tahun 2009.
Pelaburan
Baki pelaburan Kerajaan Negeri Kedah pada akhir tahun 2010 berjumlah RM288.14 juta meningkat sederhana sejumlah RM83.36 juta atau 40.7 peratus berbanding RM204.78 juta pada tahun 2009.
Peningkatan ini adalah yang tertinggi dalam tempoh 5 tahun. Analisis perbandingan menunjukkan peningkatan adalah disebabkan penambahan dalam Deposit Dalam Negeri berjumlah RM84 juta.
Analisis Keuntungan
Pelaburan Kumpulan Wang Amanah dan Pelaburan Am Analisis Audit mendapati keuntungan daripada pelaburan pada tahun 2010 telah meningkat sejumlah RM0.85 juta atau 18.7 peratus menjadi RM5.39 juta berbanding RM4.54 juta pada tahun 2009.
Peningkatan ini adalah disebabkan agihan keuntungan MAB berjumlah RM0.70 juta dan Petronas berjumlah RM0.90 juta bagi Saham Dan Syer.
Selain itu, keuntungan pelaburan Deposit Dalam Negeri telah meningkat sejumlah 0.50 juta menjadi RM3.79 juta pada tahun 2010 berbanding RM3.29 juta pada tahun 2009. Analisis Audit seterusnya mendapati keuntungan daripada pelaburan MAB dan Petronas sepatutnya diperakaun sebagai hasil di Akaun Hasil Disatukan tetapi telah silap diperakaunkan ke Akaun Amanah SSI.
Prestasi Kewangan Akaun Hasil Disatukan
Akaun Hasil Disatukan pada tahun semasa mengalami peningkatan sejumlah RM22.50 juta atau 7.0 peratus menyebabkan baki defisit Akaun Hasil Disatukan berkurangan menjadi RM298.23 juta berbanding RM320.73 juta pada tahun 2009.
Peningkatan ini adalah kali kedua dalam tempoh 5 tahun kebelakang iaitu sejumlah RM19.53 juta pada tahun 2006. Peningkatan ini adalah disebabkan lebihan pendapatan semasa berjumlah RM85.39 juta melebihi baki defisit pada awal tahun berjumlah RM62.89 juta.
Hasil
Hasil yang dikutip oleh Kerajaan Negeri adalah terdiri daripada Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil. Kutipan hasil Kerajaan Negeri pada tahun 2010 berjumlah RM456.21 juta iaitu meningkat sederhana sejumlah RM87.94 juta atau 23.9 peratus berbanding tahun 2009 berjumlah RM368.27 juta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan